Kepentingan Sikap Rendah Hati Dalam Kepimpinan

Sep 19, 2019 1 Minit
pasukan, rendah hati, bersabar mengajar pekerja

Dalam zaman Rom Kuno, jeneral tentera yang berjaya akan berarak di jalan, lengkap dengan pakaian dan perhiasan yang gemilang, dan disambut dengan sorakan kebanggaan oleh orang ramai yang berkumpul untuk meraikan kemenangan mereka.

Ia adalah masa kegembiraan, peluang untuk mempamerkan kekuatan berkekalan milik Republik, dan peringatan bahawa tuhan-tuhan memihak kepada warga Rom.

Ketika upacara yang gemilang menyinari wira saat itu, acara itu memiliki unsur tradisi yang aneh yang bertujuan untuk memastikan pemimpin tentera itu tidak lupakan daratan, tetap rendah hati. Menemani Pria Besar ialah Auriga – seorang hamba dengan status gladiator yang bertugas memegang mahkota emas di atas kepala wira itu sepanjang perarakan berkenaan.

Auriga mempunyai satu lagi tugas: secara berkala, dia akan berbisik “memento mori” kepada jeneral itu – “ingat, anda manusia biasa”. Amalan ini bertujuan untuk mengawasi ego jeneral supaya dia tidak akan membuat sebarang sesuatu yang mungkin menyinggung tuhan-tuhan mereka.

Menarik sekali bahawa sementara masyarakat dan teknologi berkembang maju, sifat manusia kekal terdedah kepada kesombongan diri sepanjang masa.

Tidak salah kalau kita meraikan kejayaan – kita sebenarnya patut berbuat demikian dengan lebih banyak lagi – tetapi jika kita terlalu terpukau dengan kepentingan diri, maka ia akan menimbulkan banyak masalah.

Salah satu kelemahan sebenar kepimpinan adalah bahawa ia kedudukan yang agak sepi dan terasing. Kerana anda bos, pekerja-pekerja cenderung melukis gambaran positif tentang perkara-perkara yang dihadapi, dan idea-idea cenderung diterima dengan semangat (pada masa itu, sekurang-kurangnya).

Akibatnya, ego kita mudah mengamuk. Seperti jeneral Rom yang berjaya itu, keadaan dilamun kejayaan dan keseronokan – tidak kira status – mempunyai kuasa menggoda yang luar biasa.

Inilah sebabnya mengapa kesedaran diri begitu penting dalam kepimpinan: tanpanya, ada risiko lupa daratan dan kesukaran melihat situasi seperti yang sebenar.

Kekal bertapak

Baru-baru ini, saya telah membaca artikel dalam Harvard Business Review, yang menghuraikan hari pertama Cees ‘t Hart menyandang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (KPE) Carlsberg pada 2015. Tetibanya, dia diberi kad kunci ke pejabatnya di tingkat ke-20. Kad itu mengunci semua tingkat lif yang lain supaya dia boleh pergi terus ke pejabatnya yang luas, dari mana pemandangan indah ibu kota Denmark, Copenhagen dapat dinikmati.

Selepas beberapa ketika, Hart membuat keputusan untuk mengalih tempat ke sebuah meja kosong beberapa tingkat ke bawah. Dalam menjelaskan tindakannya, dia berkata, “Jika saya terasing daripada tenaga kerja saya, saya tidak akan ketahui apa yang difikirkan mereka. Dan jika saya tidak ketahui apa yang sebenar berlaku dalam organisasi ini, saya tidak boleh memimpin dengan berkesan.”

Hart ketahui apa yang semua pemimpin yang baik ketahui: jika dia mengasingkan diri daripada pasukannya, egonya akan menjadi lebih besar daripada dirinya yang sebenar kerana dia akan terjebat dalam ideal ‘orang di atas’.

Sebaliknya, Hart tahu dia cuma salah seorang anggota pasukan yang cuba memberi sedaya updaya yang terbaik kepada syarikat. Ini membantunya kekal bertapak dan mengelak daripada jatuh terjebak akibat ego yang berlebihan: menjadi terlalu mementingkan diri, tidak sopan, tidak sabar, dan percaya bahawa kejayaan terbina atas usaha kendiri sebagai pemimpin.

Bagaimana kita boleh memupuk sikap rendah hati?

Apa yang kita boleh buat untuk mengingatkan diri bahawa, sebagai pemimpin, kita adalah sebahagian daripada sebuah pasukan yang besar dan bukan bintang tunggal? 

Berikut adalah tiga cara yang boleh membantu kita memupuk sikap rendah hati dan mengawasi ego kita daripada menjadi berlebihan:

1. Tanya diri setiap hari, “Saya melayani kepentingan milik siapa?”

Secara semulajadi, kita adalah mahkluk yang melayani kepentingan diri – sifat ini tersemat dalam naluri bertahan hidup kita. Bagaimanapun, dalam proses pengembangan, manusia menyedari bahawa peluang untuk bertahan hidup dan mencapai kejayaan bertambah dengan besar apabila kita bekerja bersama dengan orang lain.

Apabila kita berfikir tentang siapa yang kita layani, jawapannya akan memberitahu kita sama ada kita dipandu oleh ego atau rasa tanggungjawab yang tulen yang mahu membantu pasukan secara menyeluruh. Apabila kita merangkumi set minda kolektif, kita akan menjadi lebih berorientasikan pasukan. Perkara ini adalah lebih baik untuk kita sebagai pemimpin, bagi organisasi, dan bagi pelanggan yang kita layani.

2. Apabila membuat kesalahan, akuinya

Sama ada ia keputusan bisnes yang terumbang-ambing, atau mengendalikan konflik atau krisis dengan tidak baik, apabila kita membuat kesalahan sebagai pemimpin, tidak ada apa yang boleh membangunkan sikap rendah hati daripada mempunyai keberanian untuk mengakui kita telah membuat kesalahan.

Perkara ini lebih senang diungkapkan daripada dilakukan tetapi apabila kita mengakui kesalahan kita, ia akan mengurangkan kebimbangan kita dan menghalang kita daripada selalu hendak mempertahankan diri. Akibatnya, kita akan lebih dihormati orang ramai, dan membuka ruang untuk mengadakan dialog konstruktif untuk melicinkan semula kendalian urusan.

Berkaitan: Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

3. Menjadi Auriga sendiri

Seperti KPE Carlsberg, perhatikan situasi dan amalan yang boleh mewujudkan suasana tersempit dan terpencil. Pada ketika kita mendapati diri terperangkap dalam emosi berkuasa seperti kebanggaan dan kemarahan, kita patut mengingatkan diri, “memento mori” – kita cuma manusia biasa.

Pemimpin-pemimpin yang paling berkesan adalah mereka yang prihatin bahawa kejayaan yang dinikmati bukan pencapaian sendiri, dan kegagalan bukan perkara yang perlu diperbetulkan oleh mereka sendiri. Menang atau kalah, setiap sesuatu adalah usaha berpasukan, dan usaha ini boleh membantu atau menghalang, tertakluk kepada keupayaan pemimpin untuk memeriksa diri dan membuat perhatian jujur tentang percontohan yang ditetapkan mereka.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Importance of Humility in Leadership

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Tegas dalam kepimpinan

Cara Menjadi Lebih Tegas dalam Kepemimpinan Anda

Oleh Gregg Vanourek. Kita membuat banyak keputusan setiap hari. Banyak yang remeh, tetapi ada juga yang berbangkit dan membebankan. Di barisan kepimpinan, adakah kita mahukan pemimpin yang bergelumang dan berdolak-dalik? Atau pemimpin yang bergerak ke hadapan walaupun tidak menentu; pulang dengan cepat mengenai isu utama? Baca di sini bagaimana kita boleh menjadi lebih tegas.

Nov 16, 2022 7 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest