Cara Menjadi Pemimpin Yang Lebih Hebat

May 28, 2018 1 Minit
pemimpin hebat

Sudah banyak yang tertulis tentang maksud menjadi pemimpin yang hebat dan cara menghadapi mereka yang mempunyai kemahiran kepimpinan yang buruk.

Tetapi minda saya terusik apabila terkenang perbualan saya dengan seorang rakan lama baru-baru ini. “Bagaimana seseorang itu boleh membuat penambahbaikan dengan ikhlas untuk menjadi pemimpin yang efektif?”

Walaupun rakan saya mengepalai perniagaan yang agak berjaya, dia sedar yang dia boleh menjadi pemimpin yang lebih baik.  

Dia telah mengambil langkah permulaan untuk mempertingkatkan gaya kepimpinannya dengan membaca tentang amalan-amalan seperti kebijaksanaan emosi, keprihatinan, empati, dan mewujudkan keseimbangan budaya kerja.

Katanya, “Saya tahu ini semua adalah cara-cara hebat untuk menjadi pemimpin yang lebih baik, dan ia telah menolong ramai orang untuk membina diri masing-masing, tetapi ia agak rumit bagi saya.”

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk memupuk keprihatinan atau kebijaksanaan emosi ke tahap yang tinggi. Nak makan pun saya tak ada masa!”

Dia adalah seorang yang berkobar-kobar ingin memajukan diri untuk menjadi pemimpin yang lebih baik untuk kumpulannya. Tetapi seperti kebiasaannya, walaupun kaedah pembangunan peribadi bunyinya memang gah tetapi kehidupan nyata yang penuh pancaroba asyik menuntut perhatian daripada kita.

Cakap-cakap seperti, “Dia patut cari masa – tak elok kalau kita selalu sibuk,” selalu kedengaran, tetapi mana-mana pengasas atau ketua pegawai eksekutif perniagaan tahu bahawa memberi nasihat yang baik memang mudah tetapi hendak membuatnya payah.

Merangka semula pemikiran anda

Selalunya, apabila kita perlu mengatasi sesuatu masalah — terutamanya yang melibatkan diri — kita cenderung mencari penyelesaian yang cepat dan khusus.

Malangnya, perkara sebegini tidak wujud apabila memperkatakan tentang halangan-halangan yang signifikan. Sebaliknya, kita hendaklah mengambil pendekatan berbeza kepada situasi kita — yang boleh disesuaikan dengan komitmen kita, keadaan dan pembawaan.

Sebagai contoh, bagi seseorang yang sudah biasa hidup aktif dan sibuk, menasihati mereka untuk memperlahankan langkah dan mencari masa bukanlah tindakan yang bijak. Lebih baik anda cuba menggalakkan sloth atau pemalas untuk mencepatkan langkah! 

Sememangnya, kita juga telah menjadi terbiasa dengan tingkah laku kita sampaikan kita tidak tahu hendak bermula di mana untuk berubah, atau kita ditentang sama ada secara sedar atau tidak, dalam percubaan untuk mengubah cara kita yang biasa itu.

Memikirkan situasi rakan saya setelah mendengar kisahnya, saya bertanyakannya satu soalan mudah. Soalan itu tidak ada kena-mengena dengan meditasi atau menjadi lebih sedar dari segi sosial.

Saya olah soalan saya semudah yang mungkin:

Apakah perkara kecil yang boleh dan rela anda kerjakan sekarang?

Alasan saya mengolah soalan itu sedemikian adalah supaya ia menggalakkan anjakan yang besar dalam perspektif seseorang.

Mereka tidak akan berfikir tentang matlamat akhir dan langkah-langkah yang terpaksa diambil untuk mencapainya, kerana ini semua bukan bersifat mendorong.

Sebaliknya, mereka akan berfikir tentang perkara yang boleh diurus sekarang — pada saat ini — yang akan membantu mereka mengambil langkah pertama menuju jalan yang betul.

Saya menasihati rakan saya yang dia patut lupakan gambaran besar itu buat masa sekarang. Apakah yang boleh dilakukannya hari ini untuk membawa perubahan yang kecil namun positif?

“Saya boleh bermula dengan memastikan yang saya tidak diganggu selama 20 minit setiap hari waktu makan tengah hari,” katanya.

“Saya rasa itu tak begitu mencabar, dan jika saya boleh lakukannya, selepas itu saya boleh buat lebih banyak perubahan kecil hingga ia bertambah dan menjadi besar.”  

Bertatih-tatih dahulu

Jika anda pernah rasa terbeban, anda pasti tahu yang ia sukar untuk memisahkan pelbagai tugasan kepada kumpulan masa yang berbeza.

Semuanya datang sekaligus dan minda kita akan terus memasuki mod kemandirian – maknanya anda tidak cukup masa untuk berfikir secara rasional tentang bagaimana anda boleh mengurus masa secara efektif.

Tidak dapat disangkal lagi, amalan-amalan seperti keprihatinan atau memupuk empati adalah pendekatan yang hebat yang membawa banyak manfaat dalam kehidupan kita.

Tetapi, bagi kebanyakan orang, realitinya adalah mereka memerlukan sesuatu yang berfungsi sekarang, iaitu pendekatan di mana mereka dapat melihat hasil segera dan mendapat semula rasa kawalan.

Berhenti sejenak dan fikirkan apa perkara kecil yang anda boleh lakukan sekarang yang akan membawa hasil yang memberangsangkan.

Bagi seseorang yang sibuk, perkara kecil itu mungkin agak mustahil untuk dilakukan sebelumnya, contohnya, mengambil 20 minit dari masanya setiap hari.

Perubahan kecil itu sebenarnya langkah yang sangat besar. Ia bukan hanya menunjukkan yang anda komited untuk memperbaiki diri untuk kebaikan anda sendiri dan untuk orang lain, tetapi anda berjaya menguasai dalam cara positif yang akan secara automatik membawa kepada lebih banyak manfaat sejajar perubahan masa.

Daripada hanya melihat pada matlamat akhir, tumpukan perhatian anda kepada objektif seterusnya di sepanjang perjalanan. Ini akan mendorong anda untuk pergi lebih jauh setiap kali.

Mengambil masa 20 minit pada waktu makan tengah hari selama sebulan mungkin akan membuatkan anda mengambil langkah seterusnya dengan menambahnya kepada 30 minit bersama rakan, dua kali seminggu.

Dari situ, anda akan dapat mengenali orang lain dengan lebih baik, dan secara semulajadinya meningkatkan rasa empati anda dan kebolehan anda berhubung dengan orang lain.

Sebagai pemimpin, anda akan tahu isu-isu yang menyelubungi orang bawahan anda bermula dari titik itu.

Dengan itu, anda akan mengambil langkah untuk menangani setiap isu dengan efektif, dan ini akan meningkatkan semangat berpasukan, keterlibatan dan komitmen mereka kepada organisasi. Dan ia bermula dengan keputusan yang satu itu iaitu mengambil 20 minit setiap hari untuk rehat.
Kredit foto: stockunlimited

Menginspirasi perubahan secara perlahan

Jangan sekali-kali memandang remeh kuasa mengambil langkah-langkah kecil. Keinginan untuk mencapai kejayaan dan berusaha lebih daripada yang sepatutnya sentiasa ada.

Jika anda boleh membuatnya, baguslah — alangkah gembiranya apabila kita dapat mengambil langkah ke hadapan yang besar. Sebaliknya, banyak yang harus diperkatakan bagi mereka yang mengambil langkah-langkah kecil apabila diperlukan.

Mereka bukan hanya mengekalkan motivasi kita kerana setiap langkah memberikan kejayaan kecil sepanjang perjalanan, tetapi mereka memberi kita pandangan berharga tentang siapa diri kita.

Semakin kita membina kesedaran diri yang lebih hebat, pemahaman kita tentang keperluan orang lain di sekeliling kita juga bertambah.

Pendek kata, kita menjadi pemimpin yang kita impikan.

Ambil tanggungjawab sekarang, dan jadilah pemimpin! 

Berkaitan: Perbaiki Tingkap Yang Pecah

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik How Does One Begin To Become A Better Leader?

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Akhir tahun

Adakah Anda Sudah Mengira Detik?

Oleh Michelle Gibbings. Percutian sentiasa sesuatu yang dinanti-nantikan, dan kita sering memperoleh banyak kegembiraan semata-mata daripada jangkaan percutian. Berikut ialah lima petua untuk membantu anda mengurus tarikh akhir, menamatkan tahun anda dengan jayanya dan bersedia untuk rehat yang anda perolehi dengan baik.

Dec 05, 2022 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest