Berilah Saya Peluang!

Aug 21, 2017 5 Minit
ikan melompat keluar dari air
Berikan Peluang Kepada Pekerja Sedia Ada Untuk Berkembang

Sejurus selepas India mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri Jawaharlal Nehru mempengerusikan mesyuarat untuk membincangkan pelantikan ketua jeneral bagi Tentera India.  

Ketika para pemimpin penting sedang hangat membahaskan calon-calon serta pilihan yang ada, Nehru berkata dengan nada kesal, “Saya rasa kita perlu melantik pegawai British sebagai jeneral kerana kita tidak mempunyai sesiapa yang berpengalaman untuk memimpin.”

Semua yang ada di situ menganggukkan kepala tanda bersetuju dan mereka mula berbincang tentang calon British yang sesuai.

Perbualan yang sama seperti yang dilalui oleh Nehru bersama para pemimpin setengah kurun dahuluulu adalah perbualan yang sama berlaku di kebanyakan organisasi di serata dunia hari ini. Selalunya terdapat kekosongan jawatan berpangkat tinggi untuk diisi tetapi tiada yang berpengalaman untuk mengisinya. Kebanyakan pemimpin mencari orang yang berpengalaman dan paling sesuai untuk pekerjaan itu sama ada dari luar organisasi atau luar negara. Akan tetapi cerita Nehru berakhir agak berbeza.

Mantan Perdana Menteri India, Jawaharlar Nehru

Sedang Nehru sibuk memikirkan ekspatriat British yang manakah yang akan dibawa masuk, salah seorang pegawainya menyampuk, “Saya ada sesuatu untuk diperkatakan. Boleh saya menyampuk?” Nehru mengangguk, “Ya. Cakaplah.”
 

Pegawai itu menjawab, “Tuan, kita tiada pengalaman untuk memimpin negara juga, jadi patutkah kita melantik seorang British untuk menjadi Perdana Menteri India juga?”

Dewan mesyuarat tiba-tiba senyap. Nehru mendapat akal dan kemudiannya membuat keputusan untuk melantik orang tempatan yang berpotensi tinggi dan bukannya seorang jeneral British yang ‘berpengalaman.’

Hampir kesemua pemimpin perniagaan yang pernah saya jumpa merungut tentang isu yang sama – mereka tidak mempunyai pekerja berbakat yang boleh menerajui perniagaan ke peringkat seterusnya.

Bakat kian menjadi sumber utama kelebihan daya saing. Tetapi secara tak sengaja kita ‘membunuh’ pekerja kita  yang berbakat. Bagaimana kita ‘membunuh” bakat kita? Dengan tidak membenarkan pekerja kita memenuhi potensi mereka. Kita lakukan ini dengan membendung peluang mereka untuk mendapat pengalaman.

Perkembangan adalah proses

Bakat hanya dapat dikembangkan melalui pengalaman dan kegagalan. Anda tidak boleh menghantar seseorang ke program kelas tiga hari untuk belajar berenang dan mengharapkan dia menjadi perenang handal. Untuk belajar berenang, anda mesti berlatih di kolam. Tidak kira berapa banyak anda mendengar, membaca atau menonton tentang cara berenang, tanpa latihan di kolam, anda tidak akan berjaya berenang. Pembelajaran sebenar berlaku apabila kita mengaplikasikan segala perkara yang dipelajari di tempat kerja.

Nehru belajar menjadi Perdana Menteri India melalui pengalaman, tidak kira yang baik atau buruk. Jika wujud ‘Sekolah Perdana Menteri’ dan jika beliau dihantar ke sekolah itu pun, pembelajaran sebenar hanya akan beliau dapati menerusi pengalaman melakukan kerja itu. Jika anda menahan pekerja anda daripada menyandang jawatan yang mereka inginkan kerana kekurangan pengalaman, anda sebenarnya tidak memberikan mereka peluang untuk belajar.

Saya masih ingat masa saya membuat kajian semula Perancangan Penggantian dengan pemimpin perniagaan kanan dalam kapasiti saya sebagai ketua sumber manusia. Setiap tahun, pemimpin perniagaan akan menonjolkan bakat spesifik di dalam kumpulan mereka. Tetapi ia sungguh menyedihkan kerana setiap tahun bakat yang dikemukakan dianggap “tidak bersedia” untuk memangku jawatan yang lebih besar, atas alasan mereka memerlukan beberapa tahun lagi untuk bersedia.

Empat tahun berikutnya, alasan yang sama diberikan. Cerita yang diberi sama dan mungkin tidak berubah. Selagi kita menyimpan bakat yang ada dan tidak memberi peluang mereka berkembang, selagi itu mereka tidak akan bersedia.

Artikel berkaitan: Membina Kepercayaan Adalah Segala-galanya!

Bakat dibangunkan, bukan genetik

Apa yang dikatakan Thomas Edison tepat sekali iaitu “genius ialah 1 peratus inspirasi dan 99 peratus perspirasi.”

Berpandukan kajian yang dilakukan Anders Ericsson, kita tahu berapa banyak ‘perspirasi’ yang diperlukan untuk menjadi genius — iaitu selama tiga tahun dalam jawatan atau 10,000 jam. Kajian Ericsson menunjukkan jika anda bekerja selama 2-3 tahun (terpulang kepada berapa jam anda bekerja), anda akan menjadi pakar dalam peranan itu. Tetapi apabila anda sudah menjadi pakar, pembelajaran anda mula menurun. Untuk berkembang, anda perlu belajar sesuatu yang baharu.

Pekerja yang paling berbakat menyedari hal ini dan jika mereka tidak diberi tugasan baharu yang lebih mencabar, mereka akan berhenti kerja. Mereka mungkin menggunakan alasan wang atau yang lain untuk berhenti kerja, tetapi sebenarnya, jika mereka diberi tugasan yang lebih mencabar yang memaksa mereka untuk belajar, mereka akan merasa sukar untuk berhenti. (Mereka juga mungkin tiada masa untuk membuat resume kerana mereka terlalu sibuk bekerja!)

Tetapi, pekerja yang kurang berbakat, mereka yang berada dalam zon selesa, tidak akan berhenti (mungkin untuk selamanya). Kerja menjadi semakin senang, jadi ia satu langkah yang bijak untuk mereka untuk terus berada di dalam zon selesa tersebut.

Bakat yang sebenar tahu bahawa jika mereka tidak mendapat pengalaman baharu serta peluang untuk berkembang, mereka tidak akan mencapai impian mereka. Jadi mereka akan mencari peluang di tempat kerja lain jika tidak mendapatnya di tempat kerja KINI.

Akhir kata 

Saya bukan menyokong pendapat bahawa pengalaman tidak penting di dalam perniagaan kita. Pengalaman itu penting bagi peranan besar di mana kegagalan patut diminimumkan. Tetapi seseorang tidak akan mendapat pengalaman kecuali diberi peluang. Kita tidak akan dapat mendapat pengalaman di pentas lebih besar jika tidak diberi peluang.

Apa yang ingin saya tekankan adalah ‘penyakit bakat’ yang melanda negara kita boleh dibendung jika perkembangan bakat dilaksanakan sebagai sebahagian agenda perniagaan kita. Berikut adalah perkara praktikal yang kita boleh lakukan:

  1. Tunjukkan komitmen dengan memberi peluang kepada pekerja sedia ada untuk berkembang dan bukannya mencari bakat baharu dari luar. Beri peluang kepada pekerja yang “kurang erpengalaman”. Mereka mungkin mengambil masa untuk belajar membuat kerja baharu, tetapi dalam jangka masa panjang, ia lebih baik untuk perniagaan anda.
  2. Beri motivasi untuk pekerja anda keluar dari zon selesa. Mereka perlukan pengalaman. Beri mereka projek di luar bidang mereka. Dan bila mereka gagal (ya, mereka akan gagal), bantu mereka belajar daripada kegagalan tersebut.
  3. Beri kuasa kepada pekerja. Jadikan mereka rakan dalam pembangunan mereka. Pastikan mereka fahami kepentingan bekerja kuat, pelajaran dan kesusahan.

Seperti yang anak lelaki saya selalu katakan, ‘tiada pengorbanan, tiada hasil’. Kita perlu melalui kesusahan dan kesakitan pengalaman baharu untuk terus berkembang. Pemimpin perniagaan perlu memaksa pekerja terbaik mereka untuk mencuba tugas baharu dan memberi peluang kepada yang kurang pengalaman.

Seseorang telah memberi peluang sama kepada anda sebelum ini. Teruskan, beri peluang kepada pekerja anda. Itulah apa yang mereka perlukan. Mereka mungkin akan beri kejutan buat anda.

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Take A Chance On Me!

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Digital

Pasaran Digital dan Kepimpinan dan Pembangunan – Kebolehcapaian (Bahagian 1)

Oleh Arun Nagarajah. Temui arah aliran masa depan dalam kepimpinan digital dan pasaran pembangunan: peningkatan pendedahan jenama, saluran pemasaran yang dipertingkatkan dan kuasa bukti sosial. Manfaatkan potensi untuk berskala, penyesuaian dan impak seluruh industri.

May 22, 2023 5 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest