AmBank BizRACE: Seronoknya Pengalaman!

Jul 02, 2018 6 Minit
AmBank BizRace

Ruang legar dewan utama di Shangri-La Kuala Lumpur dipenuhi dengan hadirin yang ramah bertegur sapa antara satu sama lain, disulami gelak tawa yang sekali-sekala menghiasi isi perbualan antara mereka.

Tatkala menunggu acara utama dimulakan, mereka berkenalan dan saling bertukar kad perniagaan. Tetamu juga dilihat mengambil gambar di dinding foto yang memaparkan syarikat mereka.

Inilah suasana Malam Anugerah BizRACE AmBank yang julung kali diadakan, dan para usahawan berkumpul untuk meraikan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang giat berkembang di Malaysia.

Pembangunan manusia

Pada September lalu, AmBank memperkenalkan AmBank BizCLUB (ambankbizclub.com), sebuah komuniti perniagaan dan platform yang bertujuan untuk membantu pemilik PKS di Malaysia untuk mengembangkan dan memperluaskan perniagaan mereka.

Ini merupakan respons daripada data penyelidikan AmBank, yang menunjukkan kebanyakan syarikat kecil sukar untuk berjaya kerana mereka kurang pengetahuan yang diperlukan untuk mengangkat perniagaan ke peringkat seterusnya.

Berkaitan: AmBank Bantu Bangunkan PKS

Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Christopher Yap berkongsi, “Kami ingin menyediakan bukan sekadar penyelesaian dari segi kewangan kepada perniagaan; matlamat utama kami adalah untuk membantu mereka mengembangkan dan memperluaskan perniagaan, serta memperoleh akses kepada pasaran antarabangsa. Kami juga mesti memainkan peranan sebagai institusi kewangan melalui Pengantara Berasaskan Nilai (VBI) bagi mengurangkan kadar kegagalan, atau menambah baik peminjaman mampan.”

VBI dengan jelas menerangkan set strategi untuk memantapkan kesan perbankan ke arah ekosistem kewangan yang mampan, yang baru-baru ini diperkenalkan oleh Bank Negara.  AmBank BizCLUB merupakan bidang tumpuan melalui inisiatif VBI AmBank.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran AmBank BizCLUB, satu siri AmBank BizCONFERENCE diadakan di lima bandar utama di seluruh negara, yang menampilkan usahawan terkemuka yang berkongsi kisah inspirasi dalam menghadapi cabaran dan mengecapi kejayaan.

Siri ini diikuti dengan sembilan sesi bersama ketua pegawai eksekutif (CEO Chat), yang memberi peluang kepada PKS untuk berhubung dengan tokoh perniagaan yang cemerlang di Malaysia dari segenap industri.

Dianjurkan dalam majlis tidak formal di pelbagai lokasi, sesi ini terbuka kepada KPE di Malaysia yang berkelapangan untuk hadir.

Hadirin berpeluang mendengar cerita eksklusif para tokoh dalam mencapai kejayaan dan bertanya soalan mengenai cara untuk memajukan perniagaan ke peringkat seterusnya.

Persaingan perniagaan lain daripada yang lain

Tibalah masa AmBank BizRACE, sebuah persaingan perniagaan, apabila pemilik dan pihak pengurusan PKS yang berpotensi tinggi dilatih dan diberi panduan untuk mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kaedah untuk memajukan perniagaan ke peringkat seterusnya.

AmBank menerima hampir 1,000 penyertaan bagi pertandingan ini, dan seramai 100 orang disenarai pendek sebagai peserta peringkat pertama pertandingan pada Januari tahun ini. Peserta perlu berkongsi tentang rancangan perniagaan dengan panel hakim untuk mendapatkan tempat dalam senarai 35 Terbaik dan sekali lagi melakukannya untuk kedudukan dalam senarai 15 Terbaik.

15 syarikat yang berpotensi tinggi kemudiannya mengikuti beberapa siri latihan yang dikendalikan oleh jurulatih dan usahawan perniagaan terkemuka, disertai dengan perkongsian berharga yang menyentuh tentang kepimpinan, model perniagaan dan strategi, sistem dan proses, serta budaya.

Para peserta peringkat akhir turut menerima sesi bimbingan eksekutif secara bersemuka, yang memberi mereka akses yang tidak ternilai melalui sesi perkongsian mengenai perniagaan dan kepimpinan dengan pakar industri berkenaan.  

Sesi ini bertujuan untuk membantu para peserta peringkat akhir untuk memperhalusi model perniagaan, dan mengambil pendekatan berjaga-jaga dalam mengenal pasti dan mewujudkan persekitaran yang tepat untuk mengembangkan perniagaan.

Liku terakhir

Berbekalkan pengalaman dan pandangan baharu yang diperoleh daripada sesi tersebut, peserta dalam senarai 15 Terbaik meneruskan usaha menyampaikan rancangan perniagaan mereka sekali lagi untuk mendapatkan kedudukan dalam senarai 5 Terbaik.

Kemahiran dan pengetahuan mereka benar-benar diuji dalam cabaran terakhir, dengan peserta 5 Terbaik berentap antara satu sama lain dalam usaha untuk dianugerahkan sebagai juara pertandingan.

Cabaran terakhir ini melibatkan penyampaian selama 20 minit oleh para peserta dan sesi soal jawab selama 10 minit dengan juri-juri.

Ini merupakan inisiatif AmBank untuk membantu PKS Malaysia memperluaskan perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.

Kemuncaknya ialah Malam Anugerah BizRACE Awards, acara besar-besaran yang melibatkan wakil dari syarikat dalam senarai 35 Terbaik, juri dan penaja AmBank BizRACE, serta pihak pengurusan kanan AmBank sendiri, yang berkumpul menantikan keputusan yang dinanti-nanti, iaitu juara bagi AmBank BizRACE 2018.

Mutiara kata Pengerusi Kumpulan AmBank 

Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim membuat lawatan singkat di ruang legar sebelum acara utama bermula, untuk melihat dinding foto yang menampilkan peserta akhir dalam senarai 15 Terbaik dan bersua muka dengan wakil syarikat. Wakil syarikat tersebut mengambil peluang keemasan ini untuk menceritakan tentang perniagaan mereka kepada Tan Sri Azman, yang meluangkan masa dengan semua wakil daripada 15 syarikat tersebut.

Pengerusi Tan Sri Azman memuji peserta dalam senarai 35 Terbaik dalam ucapan pembukaannya. Katanya, “Anda telah membuktikan bahawa anda memiliki kualiti yang diperlukan untuk berjaya, iaitu daya tahan, komitmen, nyala rasa, kesediaan untuk berkorban. Saya benar-benar mengharapkan anda semua meraih yang terbaik, dan saya tahu bahawa anda akan terus berkembang dalam segenap aspek.”

Beliau mengingatkan para hadirin untuk berfikir terkehadapan, sambil menambah, ”Walaupun anda tidak dapat memperoleh kejayaan sepanjang masa, anda tidak boleh mengalah. Jangan berputus asa.”

Tan Sri Azman turut berkongsi, “Apabila saya tidak mendapat sesuatu yang saya inginkan, saya tidak rasa kecewa. Saya hanya berbisik pada diri, ‘hah, dah bukan namanya rezeki, mungkin ada rezeki yang lebih baik untuk saya’.”

“Saya yakin anda semua, sebagai usahawan, sentiasa bersifat positif.”

Pada penghujung petang, tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh para hadirin, iaitu penyampaian anugerah kepada peserta AmBank BizRACE. (Lihat bahagian bawah untuk senarai pemenang).

Melihat pada perkongsian para peserta sepanjang program ini, senang untuk saya katakan bahawa AmBank BizRACE merupakan suatu pengalaman yang membuka pintu kepada pelbagai peluang.

Mereka memperoleh peluang yang tidak ternilai untuk mengembangkan rangkaian perniagaan dan belajar daripada pakar industri, dan mereka tidak sabar menggunakan ilmu yang diperoleh untuk memajukan perniagaan ke peringkat seterusnya.

Senarai Tiga Terbaik Dalam AmBank BizRACE 2018

Tempat Pertama: Segamat Panel Boards

Hadiah: Pakej media bernilai RM315,000 dan lawatan lapangan ke China

Segamat Panel Boards ialah pengeluar produk panel kayu yang percaya pada kelestarian, dengan mengutip sisa kelapa sawit dan menukarkannya menjadi produk bernilai, daripada menggunakan sumber semula jadi yang semakin menyusut.

“Ini merupakan pengalaman yang luar biasa. Bagi PKS lain yang berkira-kira mahu menyertai AmBank BizRACE, saya mahu katakan ‘Lakukanlah!’ Ini merupakan pengalaman yang hebat.” – Peter Fitch, pengarah urusan

Tempat Kedua: Plus Solar Systems

Hadiah: Pakej media bernilai RM175,000 dan lawatan lapangan ke China

Plus Solar ialah syarikat tenaga yang bermatlamat mengubah tingkah laku manusia dalam penggunaan tenaga. Beralih arah daripada tenaga tradisional, syarikat ini memberi tumpuan pada kelestarian penyelesaian yang bersih dan cekap tenaga.

“Kami membuat perubahan dalam syarikat berdasarkan latihan yang dilalui, dan dalam masa sebulan kami dapat melihat perbezaan pada kakitangan; kini semua telah jelas dengan tingkah laku yang perlu diubah bagi mendapatkan hasil yang kami inginkan.” – Poh Tyng Huei, pengarah perniagaan dan pengasas bersama.

Tempat Ketiga: The Boom Beverage

Hadiah: Pakej media bernilai RM105,000 dan lawatan lapangan ke China

Boom Beverage merupakan pengeluar Hausboom, jenama minuman tempatan yang kini berkembang menjadi minuman jenama gaya hidup ldalam pasaran tempatan dan antarabangsa. 

“Melalui AmBank BizRACE , kami diajar tentang kepentingan mengasah bakat ahli pasukan dengan baik. Yang penting ialah pembangunan keseluruhan pasukan, kerana membina perniagaan bukannya sekadar meraih hasil jualan. Sekiranya anda gagal menambah baik ahli pasukan, hasil jualan juga tidak bertambah baik.” – Azri Zahier Azmi, ketua pegawai eksekutif dan pengasas

* Lawatan lapangan ke China merangkumi kunjungan ke organisasi terkemuka di persada antarabangsa, supaya para peserta peringkat akhir dapat mempelajari amalan perniagaan terbaik secara langsung.

Pemenang Anugerah Mengikut Kategori

  • Anugerah Pendidikan Eksekutif K-Pintar: Plus Solar Systems

Anugerah ini mengiktiraf perniagaan yang memiliki pelan perniagaan jangka panjang yang menyumbang kepada pelan pembangunan negara.

  • Anugerah Inovasi Digi: SalesCandy

Anugerah ini mengiktiraf penyelesaian perniagaan yang paling inovatif dalam membaiki kekurangan dalam pasaran semasa.

  • Anugerah Akses Pasaran Antarabangsa CGC: The Boom Beverage

Anugerah ini mengiktiraf perniagaan yang paling siap sedia dengan produk atau perkhidmatan unik dari Malaysia untuk ditempatkan dalam pasaran antarabangsa.

  • Anugerah Kelestarian AmMet Life: Segamat Panel Boards

Anugerah ini mengiktiraf perniagaan terbaik yang memenuhi tiga teras utama kelestarian — Insan, Planet, Untung.

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik AmBank BizRACE 2018: The Finale

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Hubungan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Memimpin

Memimpin dengan Keterbukaan

Oleh Jacob Morgan. Ketahui hakikat sebenar tentang kepimpinan tulen dan bagaimana ia berinteraksi dengan kepimpinan yang terbuka di tempat kerja. Mari kita kupas isunya!

Dec 11, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Biar Mereka Gagal

Setiap pemimpin yang hebat pasti pernah gagal berulang kali dalam kembara kehidupannya. Belajar daripada setiap kegagalan. Jangan ulanginya. Jadikan kegagalan-kegagalan itu sebagai batu asas kejayaan masa hadapan. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal.

Jul 06, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest